Ucapan tentang Pengenalan PKBP

Yang berusaha En. Rusli b. Hashim, Pengetua SMK Teluk Kumbar 2, yang berusaha En. Mohd Yunus b. Mohd Yusof, PK Pentadbiran, En. Ismail b. Hassan, PK HEM, Pn Faridah bt Mohd Daud PK Kokurikulum, Kaunselor, Ketua bidang, Guru-guru yang saya hormati dan pelajar-pelajar yang saya kasihi. Selamat pagi dan salam sejahtera.
      Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi saya kesempatan untuk berucap di sini sempena pelancaran Minggu Pendidikan Khas SMK TK 2. Objektif utama Minggu Pendidikan Khas diadakan ialah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk warga SMK TK2 tentang program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran agar mereka yang sesuai masuki program ini mendapat akses kepada pendidikan yang sesuai dengan mereka. Objektif yang lain ialah untuk meningkatkan persefahaman, kolaborasi dan kerjasama semua pihak yang terlibat dengan PKBP supaya dapat meminimumkan masalah dan memoptimumkan potensi pelajar PKBP. Sempena Minggu Pendidikan Khas ini, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pameran, Tayangan Video tentang kanak-kanak khas, pengenalan dan kuiz tentang jenis ketidakupayaan atau cabaran yang dihadapi oleh pelajar PKBP ini serta sukaneka antara pelajar aliran perdana dengan pelajar PKBP.
      Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (singkatan PKBP atau PPKI) SMK Teluk Kumbar 2 telah dimulakan pada tahun 2005. Kini PKBP SMK TK 2 sudah mempunyai 56 orang pelajar, 12 orang guru dan 4 orang Pembantu Pengurusan Murid atau Teachers’ Aid. Dari segi kemudahan, selain dari bilik darjah dan stesen pembelajaran, terdapat juga bilik masakan, bilik pengurusan diri bengkel pravokasional dan satu Taman Pendidikan Khas untuk melatih pelajar dalam bidang pertanian termasuklah penanaman sayur, fertigasi cili, penternakan ikan dan penanaman cendawan.
     Pelajar yang dikasihi sekalian. Dalam dunia kita ini terdapat insan yang dilahirkan dengan ketidakupayaan tertentu atau kelainan upaya. Ada di antara mereka tidak dapat bercakap atau berkomunikasi dengan sempurna, cepat lupa, emosi tidak stabil, tidak dapat mempelajari kemahiran yang mudah, tidak dapat mengikuti arahan, menunjukkan tingkah laku yang luar biasa atau aneh atau kurang senonok dan sebagainya. Saya pasti mereka tidak meminta dilahirkan dengan ketidakupayaan dan memang bukan kehendak mereka untuk berkelakuan sebegini.
      Golongan yang bermasalah pembelajaran ini seperti juga insan lain mempunyai hak untuk mendapat pendidikan. Hak ini diistiharkan dalam ”Universal Declaration of Human Right 1948” dan diperkukuhkan oleh” The World Declaration on Education For All” yang mana Malaysia turut menandatangani dan melaksanakan pendidikan untuk golongan istimewa ini yang digelar sebagai pendidikan khas.
      Bila sebut sahaja pendidikan khas, ramai orang akan ingat tentang mereka yang bermasalah penglihatan, buta atau yang cacat pendengaran, pekak. Memang dalam sejarah perkembangan pendidikan khas di Malyasia, ia dimulakan dengan adanya sekolah pendidikan khas untuk 2 golongan ini seawal tahun 1920an lagi. Program Bercantum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran hanya dimulakan pada tahun 1988.  Program Bercantum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bermakna di dalam sebuah sekolah biasa, diwujudkan program dengan kelas khas untuk mereka yang disahkan oleh pakar perubatan sebagai mempunyai ketidakupayaan intelek tertentu. Salah satu sebab diwujudkan program bercantum dan bukan sekolah pendidikan khas ialah untuk memudahkan mereka diterima oleh masyarakat. Bah kata ”Tak kenal maka tak cinta”, jika masyarakat mengenali mereka,maka lebih mudah untuk mereka diterima dalam masyarakat. Sekarang program bercantum tersebut digelar sebagai Program Integrasi Pendidikan Khas bermasalah Pembelajaran PKBP seperti yang terdapat dalam SMK Teluk Kumbar 2. 
      Seiring dengan FPK, falsafah Pendidikan Khas mempunyai matlamat yang hampir sama iaitu:
”Pendidikan Khas di Malaysia ialah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif, selaras dengan FPK”.  
      Mengikut Akta Pendidikan 1996, tempoh pendidikan untuk pelajar PKBP tidak boleh kurang daripada tempoh minimum pendidikan rendan atau menengah. Ini bermakna seseorang pelajar boleh berada di sekolah rendah sehingga 12 atau paling maksima 14 tahun dan berada di sekolah menengah dari 13 hingga 19 tahun.
      Dalam peraturan-peraturan pendidikan(Pendidikan Khas) 1997, kelayakan untuk memasuki program pendidikan Khas di sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan adalah kanak-kanak berkeperlauan khas yang ’boleh dididik” dan disahkan oleh suatu panel terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai di Kementerian Pelajaran dan Jabatan kebajikan Masyarakat. Mengikut Jabatan Pendidikan Khas, kategori kanak-kanak PKBP termasuklah mereka dengan Sindrom Down, autisme ringan, Attention Deficit and Hyperactive Disorder, terencat akal minimum dan mereka yang bermasalah pembelajaran spesifik seperti disleksia.
      Dalam peraturan-peraturan pendidikan(Pendidikan Khas) 1997 juga dinyatakan bahawa ”Dalam melaksanakan kurikulum Pendidikan Khas, guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas”.
      Bagi PKBP SMK TK2 selain dari matapelajaran akademik seperti BM, BI, Matematik, Sains dan Kemahiran hidup, aktiviti-aktiviti lain juga dilakukan untuk membantu mengembangkan potensi pelajar PKBP mengikut tahap keterfungsian mereka. Bagi golongan yang berfungsi tinggi, fokusnya ialah supaya mereka dapat mencapai kelulusan akademik seperti pelajar lain contohnya ialah pelajar yang terdapat dalam program inklusif. Bagi pelajar yang tidak dapat diinklusifkan, mereka dilatih kemahiran vokasional seperti membuat kraf tangan, menanam sayur, cendawan, mengendalikan jual beli agar mereka juga dapat bekerja dan berdikari seperti pelajar normal yang lain. Pelbagai aktiviti dan program seperti lawatan sambil belajar dan program terapi renang dan boling juga diadakan untuk meningkatkan kesan pembelajaran dan juga meningkatkan sosialisasi dan perkembangan kesihatan fizikal dan mental pelajar.
      Rupa paras pelajar PKBP tidak banyak berbeza dari pelajar aliran perdana sehinggakan ramai orang susah faham kenapa kita perlu memberi layanan yang berbeza tetapi peluang yang sama kepada mereka. Meskipun guru, ibu bapa dan mereka sendiri telah mencuba sedaya upaya, mereka masih tidak dapat mencapai tahap seperti orang normal yang lain kerana dilahirkan dengan ketidakupayaan. Mereka memerlukan toleransi dan persefahaman orang lain. Berteraskan kepada pemahaman itu, marilah kita bersyukur dan menghargai apa yang kita ada. Jangan sis-siakan anugerah Tuhan. Berusahalah bersungguh-sungguh. Sekian, terima kasih.  Ditulis oleh Pua Yoke Fang